89,000 pengunjung masuk ke Langkawi pada lapan hari pertama bulan Jun- LADA
Abd Hadi Che Awang
Jun 12, 2022 13:34 MYT
Jun 12, 2022 13:34 MYT
LANGKAWI: Pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memaklumkan bahawa jumlah kemasukan pelancong ke pulau peranginan itu adalah sekitar 89,000 orang atau purata 11,000 sehari, sepanjang lapan hari pertama bulan Jun tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya,Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sambutan yang sangat baik itu turut didorong dengan musim cuti persekolahan yang bermula 3 Jun sehingga hari ini.
"Sepanjang tempoh cuti sekolah ini perjalanan (feri) dari dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah juga meningkat lebih kurang purata tujuh trip sehari berbanding empat trip sebelum (musim cuti)
"Kemudian penerbangan udara (juga) amat menggalakkan dimana dalam tempoh cuti sekolah kita telah menerima 30 penerbangan masuk sehari hingga ke 38 penerbangan masuk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penanaman Bakau sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, pihaknya turut merencana beberapa program termasuk Karnival Langkawi Geopark 2022 yang berlangsung sepanjang Jun dalam menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Legenda itu.
Selain itu, Denai Sungai Kebangsaan sepanjang tiga kilometer yang mengalir dari Telaga Tujuh sehingga ke kawasan laut turut akan dibangunkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, LADA menjangkakan pendapatan industri pelancongan ke pulau peranginan ini mencecah RM4.25 bilion pada tahun 2022.
Menurut Nasaruddin jumlah pendapatan tersebut dijangka diperoleh selepas jumlah kemasukan pelancong tempatan dan antarabangsa meningkat susulan kelonggaran prosedur operasi standard serta pembukaan semula sempadan negara.
Tambah beliau, LADA turut menyasarkan 2.5 juta orang pelancong masuk ke pulau peranginan itu sepanjang tahun ini berbanding jumlah keseluruhan 1.09 juta orang sahaja tahun lalu.