882 projek hijau bernilai RM3.66 bilion diluluskan pada 2021 - Tuan Ibrahim
Bernama
Oktober 13, 2022 12:42 MYT
Oktober 13, 2022 12:42 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 882 projek hijau bernilai RM3.66 bilion dan tujuh perkhidmatan hijau bernilai RM21.9 juta telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2021.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek-projek tersebut merangkumi pelaburan dalam subsektor penjanaan tenaga boleh baharu, bangunan hijau serta pengurusan sisa.
"Perkembangan pesat sektor teknologi hijau akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi kepada rakyat.
"Ini akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar di Malaysia dalam jangka panjang, dan akan menjamin kemakmuran Keluarga Malaysia pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022 di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, bagi memacu pertumbuhan dan pelaburan baharu dalam sektor teknologi hijau, kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif di bawah Bajet 2023, antaranya menambah baik Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan menaikkan nilai jaminan kepada RM3 bilion sehingga 2025 serta penambahbaikan insentif membabitkan sektor kenderaan elektrik (EV) dan sektor sisa.
Kerajaan turut melanjutkan tempoh permohonan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) hingga 31 Dis 2025 dengan menambah baik tempoh galakan daripada tiga tahun kepada lima tahun bagi aktiviti hijau yang layak, contohnya aktiviti solar berserta Sistem Simpanan Tenaga Bateri.
Selain itu, tempoh pengecualian duti import dan eksais ke atas EV jenis import sepenuhnya (CBU) turut dilanjutkan sehingga 31 Dis 2024, katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, IGEM 2022 yang menyediakan lebih 300 reruai pameran, dijangka menerima kehadiran 30,000 pelawat dan prospek pelaburan sebanyak RM3 bilion.
Sebanyak 15 sesi persidangan akan diadakan melibatkan 30 penceramah dan sembilan rakan persidangan serta wakil dari 30 negara termasuk Taiwan, China, Belanda, Kanada, Korea, Singapura dan Austria.
-- BERNAMA