86 murid SK Chepor keracunan makanan

Bernama
September 25, 2024 19:25 MYT
Khairudin (dua, kanan) menyampaikan zakat kepada pelajar pada Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka dan Pesta Makanan Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024 hari ini. -Bernama
IPOH: Seramai 86 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor disyaki mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin sekolah itu, semalam.

Ringkasan AI
  • Seramai 86 murid SK Chepor disyaki keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah, mengalami gejala seperti sakit perut, muntah, cirit-birit, dan sakit kepala.
  • Makanan yang disyaki tercemar termasuk mi kari, kari ayam, dan minuman Milo ais. Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengambil sampel untuk pemeriksaan lanjut.
  • Seorang murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan, dan sekolah telah mengeluarkan surat kepada murid yang terkesan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, kesemua mangsa mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit birit dan sakit kepala selepas makan beberapa jenis makanan ketika waktu rehat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata beliau difahamkan kejadian itu berlaku bermula pada 10.50 pagi melibatkan pelajar sesi pagi dan petang.
"Setakat ini yang dimaklumkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara terdapat 86 murid terkesan keracunan makanan dan salah seorang daripada mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
"Laporan awal yang saya terima, makanan yang dikhuatiri tercemar ialah mi kari, kari ayam dan minuman Milo ais.
"Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah pun membuat pemeriksaan serta mengambil sampel di kantin terbabit 11 pagi tadi, malah pengurusan sekolah telah diarahkan membuat laporan kepada PPD Kinta Utara," katanya.
Khairudin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka dan Pesta Makanan Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata gejala keracunan itu dikesan apabila terdapat ibu bapa yang mengadu dalam aplikasi WhatsApp sekolah berkenaan kesihatan anak mereka.
"Jadi pihak sekolah ambil maklum dan mengeluarkan surat kepada murid yang terkesan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik kesihatan dan klinik swasta, manakala seorang murid pendidikan khas terpaksa ditahan di HRPB untuk pemantauan.
"Sebarang keputusan lanjut bergantung kepada siasatan daripada pejabat kesihatan berkenaan manakala pihak sekolah pula perlu mengemukakan laporan mengikut prosedur ditetapkan iaitu pada hari pertama, ketiga dan ketujuh secara berkala," katanya.
-- BERNAMA
#keracunan makanan #SK Chepor #Hospital Raja Permaisuri Bainun #Klinik kesihatan
;