83 botol ubat batuk dijumpai di atas siling
Bernama
Januari 4, 2013 18:19 MYT
Januari 4, 2013 18:19 MYT
Tindakan pantas polis menghalang cubaan seorang lelaki melarikan diri dengan memanjat siling rumahnya di Kampung Behor Gelam, Arau, akhirnya membawa kepada penemuan 83 botol ubat batuk yang disembunyikannya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Arau, ASP Zulkiflee Rashid berkata, semasa pemeriksaan di rumah tidak bernombor itu pukul 3.45 pagi pada 1 Januari, polis mengesan lelaki berumur 30 tahun itu cuba menyembunyikan diri dengan memanjat siling rumah itu sebelum menarik kakinya.
Zulkilee yang mengetuai operasi itu berkata di sini, polis kemudiannya memeriksa bahagian siling rumah itu dan menemui sebuah kotak yang mengandungi 83 botol ubat batuk jenama "Sunex Cough Syrup".
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, polis yang mengadakan serbuan ke kawasan berkenaan menahan seorang wanita 50 tahun yang dipercayai ibu lelaki itu, wanita berumur 29 tahun dipercayai isterinya dan seorang lelaki 20 tahun dipercayai adik ipar lelaki itu.
Mereka ditahan antara pukul 12.20 dan 12.40 pagi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan memproses dan membekalkan cecair yang menghayalkan manakala beberapa peralatan yang digunakan bagi memproses cecair itu termasuk periuk dan tong turut dirampas.
Hasil tangkapan dan rampasan itu, polis menyerbu semula rumah berkenaan tiga jam kemudian dan menahan lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh dan merampas ubat batuk yang disembunyikan itu.
Sebelum menahan empat individu yang mempunyai ikatan kekeluargaan itu, polis menyerbu sebuah pusat snooker di kampung yang sama 12.05 malam dan menahan 14 lelaki berumur antara 15 dan 27 tahun.
Polis turut menemui dua botol mengandungi cecair yang dipercayai bahan menghayalkan di pusat snooker itu namun ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.