82 ditahan dalam Ops BAH sekitar PPR ibu negara
Astro Awani
September 22, 2017 11:34 MYT
September 22, 2017 11:34 MYT
Dua remaja seawal usia 13 dan 19 tahun antara 82 yang ditahan kerana disyaki menagih dadah dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Wilayah Persekutuan Siri 38 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Setapak Jaya malam tadi.
Selain polis, operasi membanteras aktiviti haram yang bermula sekitar jam 12 malam itu turut disertai pasukan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Rela dan Kementerian Wilayah Persekutuan selain beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Izhar Abu Talib empat daerah iaitu Dang Wangi, Cheras, Brickfields dan Sentul adalah antara kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dalam program memerangi dadah habis-habisan terutamanya di flat PPR.
Ia berikutan terdapat aduan orang ramai, risikan dan statistik indeks jenayah yang tinggi.
“Kawasan PPR yang kita kenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi ini, keadaan penagihannya memang amat amat membimbang bukan sahaja dari segi bilangan tetapi juga dari segi latar belakang mereka yang mengambil dadah.
“Itu yang kita katakan tadi hasil tangkapan kita dapat menangkap mereka seawal umur 13 tahun dan mungkin dia sudah mengambil dadah lebih awal lagi. Mungkin berumur 10 tahun atau pun lebih awal daripada itu,” katanya ketika ditemui pagi tadi.
Menurutnya lagi, seorang suspek remaja yang tidak bersekolah turut ditahan di sebuah rumah di flat Desa Rejang hasil aduan keluarga suspek sendiri.
Kesemua penagih berusia 13 hingga 39 tahun yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat AADK untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berakhir jam 6 pagi tadi.