81 Rohingya mendarat di Aceh Timur, NTF perketat kawalan sempadan negara
Astro Awani
Jun 5, 2021 17:07 MYT
Jun 5, 2021 17:07 MYT
KUALA LUMPUR: National Task Force (NTF) melalui Operasi Benteng (Op Benteng) akan memperketatkan kawalan sempadan negara susulan laporan pendaratan pelarian etnik Rohingya di Aceh Timur, Indonesia seperti dilaporkan media negara itu.
Ia termasuk meningkatkan pemantauan sebarang cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari exit point Tanjung Balai, Medan dan Dumai ke titik-titik pendaratan haram serta lorong tikus di sepanjang Pantai Barat Semenanjung.
"NTF tidak akan berkompromi dengan sindiket dan pengkhianat negara yang terlibat dengan penyeludupan pelarian Rohingya dan PATI ke negara ini. Tindakan keras akan dikenakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007.
"NTF bersama 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan terus melaksanakan operasi bersepadu memperketatkan kawalan sempadan negara dalam mengekang kemasukan imigran di samping
mengawal penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di Malaysia," kata NTF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
NTF juga berharap dan menyeru rakyat Malaysia agar bertindak sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kemasukan PATI yang melalui titik pendaratan haram dan lorong tikus ke talian Hotline NTF 011- 6251 1223.
Media Indonesia sebelum ini melaporkan kehadiran 81 orang pelarian etnik Rohingya yang dikesan di sekitar pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Aceh Timur pada 4 Jun 2021 jam 7 pagi (waktu Indonesia Barat).
Menurut laporan tersebut, kumpulan pelarian Rohingya berkenaan terdiri daripada 70 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak.
Mereka telah berjaya mendarat pada malam atau awal pagi 3 Jun 21 yang mana pada asalnya adalah berjumlah 90 orang namun lapan orang telah meninggal dunia dan seorang hilang di laut.
#Indonesia
#Rohingya
#Kanak-kanak
#pati
#rakyat Malaysia
#pelarian
#haram
#sindiket
#Malaysia
#COVID-19
#pendatang tanpa izin