804 pemantauan KPDNHEP, ini 5 perkara penting kenyataan media Hishammuddin pada Khamis
Astro Awani
Julai 29, 2021 18:48 MYT
Julai 29, 2021 18:48 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 804 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas terdiri daripada 611 peruncit, 161 pemborong dan 32 pengilang pada Rabu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, KPDNHEP juga telah melakukan 1,999 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,996 premis mematuhi SOP manakala tiga telah dikompaun.
Berikut lima perkara penting kenyataan media Hishammuddin pada Khamis:
1. Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keseluruhannya 17 lokaliti di Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.
2. PKPD yang dijadualkan tamat pada 30 Julai dilanjutkan bermula 31 Julai sehingga 13 Ogos di Perumahan Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang dan Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu, Sabah serta Kampung Seratau, Bahagian Kuching, Sarawak.
3. PKPD diumumkan tamat di 10 lokaliti di lima negeri iaitu di Perak, Melaka, Sabah, Selangor dan Sarawak.
4. Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 20,205 anggota telah melaksanakan 82,992 pemeriksaan dan 63 premis meliputi lima kilang, 55 premis perniagaan serta lima tapak pembinaan diarahkan tutup serta merta.
5. Seramai 563 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan telah dikuarantin wajib di 83 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.