804 pegawai, anggota polis dikenakan hukuman tatatertib

Sinar Harian
Oktober 8, 2023 13:39 MYT
Azri berkata, daripada jumlah itu seramai 69 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan dibuang kerja. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 804 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenakan hukuman tatatertib sejak Januari hingga Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu seramai 69 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan dibuang kerja.
"Dalam tempoh sama, seramai 475 pegawai dan anggota polis telah dikenakan tindakan amaran, denda (144), lucut hak emolumen (84), tangguh pergerakan gaji (16), turun gaji (8) dan turun pangkat (8)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, dalam tempoh sama, seramai 611 pegawai dan anggota ditahan kerja manakala 173 telah digantung kerja.
"Sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib telah dibuka sejak Januari hingga Ogos lalu.
"Data hukuman tatatertib itu menunjukkan bahawa ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga PDRM bukanlah 'retorik' semata-mata," jelasnya.
Azri berkata, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain telah mengeluarkan arahan KPN No.191 iaitu 'total enforcement' berkaitan Peraturan 3C Peraturan - Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan &Tatatertib)1993, pada 26 Ogos lalu.
"Arahan KPN No.191 itu adalah antara pelan tindakan jangka pendek yang telah digaris di bawah 'Fokus KPN ke 14', selain kita mahu perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat.
"Arahan KPN itu juga adalah peringatan serius kepada pegawai polis bahawa kegagalan mereka menjalankan tanggungjawab penyeliaan terhadap anggota bawahan mereka boleh diambil tindakan mengikut peraturan tatatertib yang berkuatkuasa," katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Mengulas lanjut, Azri berkata, intipati kenyataan Mohd Shuhaily itu adalah menyentuh berkaitan isu penyeliaan di bawah JSJ Bukit Aman.
"Ia adalah susulan arahan Ketua Polis Negara kepada semua warga PDRM bukan sahaja JSJ Bukit Aman," ujarnya.
Beliau berkata, kesalahan pelanggaran undang-undang oleh warga PDRM akan disiasat malahan akan dituduh mengikut peruntukan akta berkenaan.
"JIPS akan menjalankan siasatan tatatertib selari yang boleh berakhir dengan hukuman buang kerja atau turun pangkat dan sebagainya bergantung kepada 'severity of the cases'," katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan anggota mahu pun pegawai polis diberi amaran keras sekiranya masih terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, ada yang sanggup menjual nyawa rakan untuk duit imbuhan daripada sindiket.
Perkara itu berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#anggota polis #tindakan tatatertib #Azri Ahmad #Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard #Mohd Shuhaily
;