800 al-Quran wakaf diserah kepada Jabatan Kesihatan NS

Astro Awani
April 9, 2020 10:00 MYT
Hashim menyerahkan sumbangan wakaf al-Quran kepada Dr Muhammad Faid di JKNNS, 8 April 2020. - Foto Sinar Harian
Sebanyak 800 naskhah al-Quran disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) di Seremban pada Rabu, melalui program sumbangan wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Majlis penyerahan disempurnakan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada Timbalan Pengarah JKNNS, Dr Muhammad Faid Abd Rashid di pejabatnya, sementara di HTJS pula, sumbangan diserahkan kepada wakil Ketua Penolong Pengarah II HTJS, Norizah Mansor.
Sinar Harian melaporkan, sebanyak 200 al-Quran diwakafkan di HTJS manakala 600 al-Quran lagi diserahkan kepada JKNNS untuk diagihkan kepada Hospital Tampin, Jempol, Tuanku Ampuan Najihah dan klinik kesihatan sekitar Negeri Sembilan.
Dr Muhammad Faid berkata, pemberian al-Quran itu diharap dapat meningkatkan lagi ketahanan dan kekuatan rohani petugas barisan hadapan untuk terus berjuang dalam menghadapi wabak COVID-19.
Program Wakaf Quran Mu’jam yang dilancarkan pada 3 April lalu berjaya mengumpul sebanyak 13,838 naskhah al-Quran setakat ini.
Kitab itu untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff dipetik berkata, sumbangan yang diterima itu kebanyakannya daripada rakyat Malaysia menerusi hebahan pelbagai platform rakan senergi yang menggerakkan solidariti itu secara bersama.
Mereka termasuk Jakim, TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, WUIF dan Rumah Ngaji di seluruh negara.
Menurut Marhaini, berdasarkan respon positif yang diterima dari rakyat Malaysia, pihaknya yakin berjaya mencapai sasaran mengumpul 15,000 naskhah al-Quran untuk kegunaan sepanjang Ramadan akan datang.
Selain itu, WUIF turut menganjurkan slot Quran Time dan slot My Family #QuranHour 'Masuk Syurga Sekeluarga' secara langsung di QuranHour Channel melalui Facebook QuranHour setiap hari.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, QuranTime membincangkan Juzuk Amma bermula jam 8 pagi hingga 8.30 pagi.
Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.iy/wakafquranhospital.
Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.
Sewaktu pembayaran dilakukan, turut disarankan untuk meniatkan wakaf tersebut atas nama penyumbang.
Slip pembayaran boleh dihantar ke http://www.wasap.my/60193803635/WakafQuran.
#Al-Quran #Hashim Anang #Hospital #Hospital Tuanku Jaafar #HTJS #Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan #JKNNS #Karangkraf #Muhammad Faid Abd Rashid #petugas barisan hadapan #QuranHour #QuranTime #Seremban #wakaf #wakaf al-Quran #Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
;