80 petani hadapi kerugian jutaan ringgit akibat penahan air laut pecah
Bernama
Julai 5, 2023 19:28 MYT
Julai 5, 2023 19:28 MYT
BATU PAHAT: Kira-kira 80 petani di sekitar Kampung Sungai Suloh dan Kampung Bukit Kelicap, dekat sini, mendakwa mereka berhadapan dengan kerugian sehingga jutaan ringgit setelah hampir sepanjang tahun tanaman mereka ditenggelami air masin.
Salah seorang pengusaha Mazlan Ithnin, 58, berkata kejadian berkenaan berlaku apabila benteng penahan air laut telah pecah semenjak tahun 2018 sekali gus menjejaskan tanaman seperti kelapa mataq, kelapa tacunan, kelapa pandan serta kelapa sawit.
Dia berkata tanaman berkenaan yang telah dimulakan pada tahun 1976, mampu menjana pendapatan sekitar RM150,000 dalam setahun untuk setiap petani, bagaimanapun apabila benteng itu pecah, hampir separuh pendapatan tersebut hilang.
"Benteng sepanjang hampir empat kilometer ini dibina dengan menggunakan batu dan tanah tetapi ia mulai runtuh sekali gus menyebabkan air laut memasuki kebun dan menyebabkan air masin bertakung.
"Air yang bertakung ini akan lambat keluar kerana hanya ada satu pintu air serta perlu menunggu air daripada sungai berhampiran surut. Akibatnya, ada sebahagian tanaman menjadi rosak dan tidak dapat mengeluarkan hasil," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Kelicap, Nordin Daiman, 68, berkata tanaman yang diusahakan penduduk seluas kira-kira 121.406 hektar turut mengalami nasib yang sama apabila tanaman kontan seperti pisang, betik dan jambu terjejas akibat takungan air masin.
"Kami semua berharap ada tindakan oleh pihak berwajib dengan membantu kami membina semula benteng yang telah runtuh dan memastikan benteng baharu dapat bertahan lama," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Mohd Yusla Ismail ketika dihubungi berkata pihaknya telah mengambil maklum tentang perkara itu.
Beliau berkata masalah tersebut juga telah diajukan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Johor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Batu Pahat Anas Mohamed berkata benteng tersebut sebenarnya dibina di atas tanah milik persendirian.
Bagaimanapun, pihaknya akan cuba mengatasi masalah tersebut dengan membuat benteng baharu menggunakan kayu bakau dan geotekstil, yang dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi.
-- BERNAMA