80 peratus pengguna mengadu tidak terima bekalan gula bersubsidi - Presiden CAKE

Irfan Faruqi
Oktober 12, 2023 08:15 MYT
Mohamad Yusrizal berkata kerajaan perlu mewujudkan inisiatif dan undang-undang khas bagi mengekang sebarang aktiviti monopoli dan kartel. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus pengguna mengadu tidak menerima bekalan gula bersubsidi di pasaran, menurut Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).
Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, situasi ini berlaku akibat faktor aktiviti kartel dan monopoli barangan keperluan pengguna.
“Gula biasa diberikan subsidi, yang dikatakan untuk golongan sasar, tetapi adakah sampai kepada golongan sasar?
"Lapan puluh peratus pengguna yang saya tanya di lapangan menyatakan, mereka tidak menerima subsidi tersebut. Hanya gula premium yang ada di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu mewujudkan inisiatif dan undang-undang khas bagi mengekang sebarang aktiviti monopoli dan kartel yang boleh menjejaskan jaminan bekalan barangan asas kepada pengguna.
Sementara itu, menyentuh mengenai harapan rakyat menerusi initipati Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan esok, Mohamad Yusrizal berkata, peningkatan pendapatan adalah perkara yang paling dikehendaki rakyat.
“Hasil daripada kajian yang kita tanya kepada ramai pengguna, apabila Belanjawan 2024 ini hendak diumumkan, apa yang diharapkan oleh rakyat adalah pertambahan pendapatan mereka.
"Itu yang paling penting sekali kerana paras pendapatan dan kenaikan harga barangan (tidak seimbang),” katanya lagi.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan dua syarikat pengeluar gula tempatan - MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) - dibenar mengeluarkan gula putih bertapis jernih atau gula premium, berkuat kuasa 25 Mei.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran itu akan memberikan pilihan gula kepada pengguna, selain gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada yang disifatkan sebagai 'gula rakyat'.
Harga gula putih bertapis sedia ada dikawal oleh kerajaan pada RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus), menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sebaliknya, harga bagi gula putih bertapis jernih tidak dikawal kerajaan dan ditentukan oleh pasaran.
#Agenda Awani #subsidi #gula #cake
;