80 individu, entiti terima notis kompaun RM420 juta
Wan Syamsul Amly
Oktober 7, 2019 10:22 MYT
Oktober 7, 2019 10:22 MYT
Seramai 80 individu dan entiti sudah menerima notis kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) .
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata jumlah notis kompaun berkaitan kes 1MDB kali ini bernilai RM420 juta.
"Semua wang yang terlibat ini adalah milik rakyat dan SPRM akan menuntut semula sebanyak yang mungkin.
“Wang yang terlibat keluar ini melibatkan transaksi melalui bayaran cek,” katanya semasa sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, pada Isnin.
Kata Latheefa, tindakan notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.
Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah bekas Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Razak, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, Ibu Pejabat MIC, Pergerakan Puteri UMNO dan Wanita UMNO.
Kata Latheefa, Nazir merupakan individu yang menerima kompaun antara yang tertinggi iaitu sebanyak RM25.7 juta sementara Solar Shine Sdn Bhd merupakan entiti yang menerima kompaun tertinggi iaitu sebanyak RM134 juta.
Tegasnya, semua nama tersenai perlu menjelaskan kompaun mereka dalam tempoh dua minggu dari notis dikeluarkan.
Notis kompaun kini dalam proses kelulusan Peguam Negara.
Pada Jun, SPRM memfailkan permohonan melucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap 41 responden bagi tujuan mendapatkan semula wang 1MDB yang disalah guna.
Permohonan itu bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada masa itu, SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang akan dijadikan sebagai responden dalam permohonan ini yang semuanya rakyat dan entiti tempatan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya juga akan menubuh satu pasukan khas bagi menyiasat semua aset-aset luar negara yang berkaitan dengan 1MDB.
Pasukan khas itu akan diketuai Pusat Governans Integiriti dan Anti Rasuah Nasional (GICC).
"Jumlah keseluruhan aset luar negara bernilai hampir AS$5 bilion (RM20,746,000,000) yang melibatkan aset-aset seperti hartanah dan pertukaran wang asing," jelas Azam.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#80 individu dan entiti
#Ketua Pesuruhjaya SPRM
#Latheefa Koya
#notis kompaun
#Solar Shine Sdn Bhd