80 individu ditahan kerana jadi 'keldai akaun' sindiket penipuan
Bernama
Mac 25, 2024 16:20 MYT
Mac 25, 2024 16:20 MYT
SIBU: Seramai 80 individu ditahan di Sibu sejak Januari lalu kerana disyaki menjadi 'keldai akaun' dengan menyerahkan maklumat bank kepada sindiket untuk tujuan penipuan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata individu terbabit telah didakwa di mahkamah berhubung kesalahan tersebut.
"Menyerahkan akaun kepada pihak yang tidak berwajib bukan sahaja melanggar undang-undang malah memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti jenayah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha mencegah penipuan secara dalam talian.
Zulkipli mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyerahkan maklumat akaun peribadi kepada orang lain kerana tindakan itu boleh membawa kepada penyalahgunaan maklumat peribadi dan menyebabkan kerugian yang besar.
Pihak polis katanya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan maklumat peribadi.
-- BERNAMA