80,000 warga emas, OKU bawah JKM bakal terima vaksin - Rina
Umavathi Ramayah
April 18, 2021 17:02 MYT
April 18, 2021 17:02 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 80,000 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bakal menerima suntikan vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peringkat pertama fasa itu akan melibatkan 36,000 individu dengan 25,000 daripada adalah warga emas.
"Kita juga akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk mendaftar vaksin untuk golongan sasar ini menerusi beberapa program kerana ada antara mereka yang kurang pengetahuan untuk mendaftar.
"Jadi kita akan buat program ini untuk mendaftar mereka," katanya kepada wartawan selepas Program Dapur Rakyat Prihatin Bersama Wanita PN Selangor, di sini pada Ahad.
Rina yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata, data tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
"Walaupun pihak kementerian giat menjalankan pendaftaran golongan sasar bawah kendaliannya bagi penerimaan vaksin, namun mereka masih perlu mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera terlebih dahulu dan kita akan membantu mereka," jelasnya.
Dalam majlis itu Rina turut menyerahkan bantuan bungkusan makanan mengandungi barangan keperluan kepada 1,000 penduduk golongan B40 di sekitar Parlimen Kapar, yang terjejas akibat COVID-19.
Terdahulu, ketika berucap Rina memberitahu, PN akan terus melaksanakan program seumpama itu dalam membantu rakyat yang terkesan berikutan pandemik.
#Rina Harun
#program vaksinasi
#warga emas
#Orang Kurang Upaya
#Perikatan Nasional
#Parlimen Kapar
#MOSTI
#COVID-19
#Program Dapur Rakyat Prihatin