80,000 dijangka hadir ke rumah terbuka Tahun Baru Cina
Bernama
Februari 7, 2013 13:59 MYT
Februari 7, 2013 13:59 MYT
Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan mengadakan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina di Kolej Han Chiang pada 11 Februari ini yang dijangka dihadiri 80,000 pengunjung.
Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata pihaknya turut menjemput Ketua Menteri Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri untuk menghadiri majlis yang bermula pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari itu.
"Isnin lepas kami sudah menghantar jemputan kepada beliau (Lim) tetapi belum terima jawapan daripadanya, kami sudah sediakan tempat untuk beliau dan exco.
"Kami juga mengundang semua orang di Pulau Pinang dan negeri-negeri berdekatan untuk sama-sama memeriahkan majlis ini," katanya pada sidang akhbar sempena majlis itu di sini hari ini.
Oh berkata BN menyediakan kemudahan tempat letak kereta untuk pengunjung di kawasan berhampiran Kolej Han Chiang serta menyediakan kemudahan bas kepada pengunjung yang memerlukan pengangkutan.
"Diharap semua akan hadir pada majlis ini kerana kami menyediakan makanan dan minuman untuk 80,000 orang," katanya.
Turut diadakan pada majlis itu ialah persembahan hiburan secara percuma untuk pengunjung, antaranya persembahan penyanyi terkenal tanah air iaitu Shila Amzah dan penyanyi popular Korea Psy serta pertunjukan Chingay, badut, nyanyian dan tarian masyarakat Cina.