8 unit stor kuarters Hospital Teluk Intan terbakar
Amirrul Rabbani
Jun 6, 2023 19:22 MYT
Jun 6, 2023 19:22 MYT
TELUK INTAN: Lapan unit stor kuarters di Hospital Teluk Intan dekat sini terjejas akibat kebakaran pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 4.47 petang.
Katanya, sejurus selepas itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan tiba di lokasi kejadian bagi kerja-kerja pemadaman api, sambil dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.
“Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran melibatkan lapan unit stor berukuran 5 x 8 kaki setiap unit.
“Kebakaran dianggarkan hampir 30 peratus itu kemudiannya dapat dikawal sepenuhnya pada jam 5 petang.
“Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran menggunakan satu ‘hose reel’ dan satu aliran ‘hose’ pada 200 kaki dengan satu pancutan air,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, kebakaran dipercayai bermula pada salah satu stor yang mengandungi perkakasan komputer, meja, dan buku lama sebelum api merebak ke tujuh stor lain.
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan direkodkan dan punca sebenar insiden serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Operasi yang diketuai Ketua BBP Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus, yang dijalankan oleh lapan pasukannya dan dibantu oleh lima anggota PBS Teluk Intan itu, tamat pada jam 6.13 petang.