8 stesen LRT, MRT jadi pusat respons kecemasan awal RSP
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 19, 2022 17:32 MYT
Oktober 19, 2022 17:32 MYT
KUALA LUMPUR: Lapan stesen transit aliran ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal Rapid KL Safety Point (RSP).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata PDRM akan bekerjasama dengan Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn Bhd dalam menangani masalah jenayah di ibu kota terutamanya membabitkan stesen-stesen LRT dan MRT.
Menurut beliau, sebanyak 261 kes jenayah dilaporkan di kawasan pengangkutan awam dari Januari sehingga 12 Oktober tahun ini.
Antara kes yang dilaporkan adalah cabul, samun, seluk saku, curi kenderaan dan ragut.
Katanya polis mensasarkan penurunan kes jenayah sekurang-kurangnya lapan hingga 12 peratus menjelang tahun depan tahun depan.
"Program RSP yang membabitkan lapan stesen ini bermula serta-merta hari ini. Kami berharap kadar perlakuan jenayah di kawasan pengangkutan awam dapat dikurangkan.
"Pada masa ini terdapat 147 stesen rel LRT dan MRT dan berharap program ini dapat diperluaskan," katanya ketika ditemui pada Program Rapid KL Safety Point (RSP) di sini, hari ini.
RSP melibatkan stesen MRT Kampung Baru; stesen LRT dan MRT Pasar Seni; Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang); Stesen LRT KL Sentral; Stesen LRT KLCC; dan Stesen MRT Bukit Bintang.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, inisiatif itu dapat meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam serta membantu mengurangkan kejadian jenayah di premis pengangkutan awam.
"Sebagai permulaan sebanyak lapan stesen terlibat dalam projek rintis ini dengan paparan pelekat khas menandakan stesen berkenaan menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Tambahnya lagi, 900 pegawai polis bantuan terbabit dalam program berkenaan, malah tiga hingga lima pegawai barisan hadapan akan ditempatkan di setiap stesen bertujuan memberikan bantuan kecemasan kepada penumpang.
Menurut Azharuddin lagi, ketika ini jumlah keseluruhan penumpang yang menggunakan Rapid KL adalah 600,000 sehari dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.