8 salah tanggapan mengenai Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar, ini penjelasan BNM
Farhana Joni
November 15, 2020 15:49 MYT
November 15, 2020 15:49 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu telah menjadi perbualan ramai pihak.
Ada yang memuji tidak kurang yang mempertikaikan, bahkan ada juga yang salah anggap dengan peruntukan yang dibentangkan dalam laporan tersebut.
Ekoran terdapat salah tanggapan berhubung Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar, Bank Negara Malaysia tampil menjelaskan kemusykilan tersebut.
Berikut penjelasan daripada Bank Pusat itu yang dikongsi di lama Facebook:
1. "Tanpa moratorium menyeluruh, peminjam sukar mendapat bantuan"
Sebenarnya: Peralihan daripada moratorium automatik kepada bersasar tidak bermakna bantuan ditarik balik, sebaliknya, bantuan tetap diberikan kepada yang memerlukan. Kini peminjam ada pilihan penyelesaian kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.
2. "Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar hanya untuk B40"
Sebenarnya: Bantuan terus disediakan kepada semua golongan peminjam yang terjejas akibat pandemik seperti moratorium, kurangkan kadar ansuran dan lanjutan tempoh pinjaman dan tukar kepada kemudahan lain seperti kad kredit kepada pinjaman bertempoh.
3. "Bank minta terlalu banyak dokumen"
Sebenarnya: Terdapat beberapa golongan tidak perlu memberikan dokumen seperti B40, penerima BSH atau BPR, perusahaan mikro.
4. "Proses permohonan terlalu lama"
Sebenarnya: Tempoh proses permohonan bergantung pada situasi seperti penerima BSH dan perusahaan mikro dalam 24 jam sahaja manakala penerima BPN dalam masa lima hari dan PKS pula 14 hari.
5. "Saya tidak dapat memohon kerana PKPD dan PKPB"
Sebenarnya: Bank masih beroperasi seperti biasa, anda juga boleh memohon melalui beberapa saluran seperti telefon, e-mel atau dalam talian.
6. "Bantuan masih tidak cukup untuk menampung hutang"
Sebenarnya: Anda boleh berbincang dengan bank untuk bantuan lain seperti moratorium, kurangkan kadar ansuran dan lanjutkan tempoh pinjaman dan tukar kepada kemudahan lain misalnya kad kredit kepada pinjaman bertempoh.
7. "Tiada kos tambahan untuk bantuan bayaran balik pinjaman bersasar"
Sebenarnya: Faedah akan terus dikenakan atas jumlah ansuran justeru pertimbangkan pilihan anda dengan teliti atau sambung ansuran pinjaman jika anda mampu.
8. "Rekod CCRIS saya akan terjejas"
Sebenarnya: Semua permohonan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam rekod CCRIS.
Ingat tiga langkah yang boleh anda lakukan iaitu hubungi bank anda dahulu, hubungi AKPK di 03.2616 7766 untuk mendapatkan nasihat atau pilihan bantuan bayaran balik alternatif dan hubungi BNMLELINK melalui talian 1-300-88-5465 atau bnm.my/RAsurvey untuk membuat aduan.
#Bank Negara Malaysia
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Menteri Kewangan
#Belanjawan 2021
#Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar