8 premis makanan kotor diarah tutup

Sinar Harian
Ogos 19, 2022 10:40 MYT
Ruang sejuk beku antara aspek yang diperiksa oleh penguat kuasa JKNT dalam Op Premis Bersih diadakan selama dua hari di Dungun dan Kemaman. - Foto JKNT
DUNGUN: Lapan premis makanan di Dungun dan Kemaman diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, arahan itu dikeluarkan dalam Op Premis Bersih Peringkat Negeri yang diadakan selama dua hari bermula Rabu di dua daerah berkenaan.
“Sebanyak 55 premis makanan telah diperiksa di mana lapan premis diarahkan ditutup kerana pelbagai kesalahan antaranya kehadiran tikus, peti sejuk tempat penyimpanan bahan mentah tidak berfungsi.
“Selain itu, kita juga dapati persekitaran premis makanan tidak bersih dan tidak terurus, pengendali makanan yang tidak diketahui status kesihatan dan tiada pelalian anti-tifoid serta tidak menitik beratkan kebersihan diri.
“Operasi ini difokuskan kepada premis yang sering dikunjungi ramai dan kawasan tumpuan pelancong antaranya bandar Cukai, Kemasik di Kemaman bandar Dungun dan Paka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurut Dr Kasemani, penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang menjalankan pemeriksaan juga mengesan penggunaan 12 sijil latihan pengendali makanan (LPM) yang tidak sah oleh pengendali makanan.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana JKNT hanya menerima sijil LPM asal dikeluarkan sekolah latihan LPM kepada pegawai berkuasa sebagai bukti kehadiran kursus LPM bukan salinan sijil fotokopi.
Selain itu jelasnya, sebanyak 98 notis kehadiran mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM26,450.
“Jadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan memastikan kedai mereka bersih pada setiap masa.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melalui pelaksanaan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diadakan secara berterusan bagi melindungi kepentingan awam.
“Kita juga sentiasa mengadakan aktiviti promosi supaya pengguna sentiasa memilih premis makanan bersih sekali gus menjamin kesihatan mereka,” ujarnya.
Seramai 72 anggota penguat kuasa dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT, Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Terengganu, Majlis Perbandaran Dungun dan Majlis Perbandaran Kemaman terlibat dalam operasi tersebut. -Sinar Harian
#premis makanan kotor #premis makanan di Dungun dan Kemaman #Kasemani Embong #tiada pelalian anti-tifoid
;