8 penumpang dan anak kapal dalam pesawat terhempas - CAAM
Nailah Huda
Ogos 17, 2023 17:06 MYT
Ogos 17, 2023 17:06 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai enam penumpang dan dua anak kapal berada dalam pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam pada Khamis.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam satu kenyataan, keadaan penumpang pesawat masih tidak dapat disahkan ketika ini.
Jelasnya, pesawat terbabit yang dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
“Kontak pertama dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan pada 2.48 petang.
“Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhati asap dari lokasi nahas, namun tiada panggilan ‘mayday’ dibuat oleh pesawat,” jelas beliau.
Susulan itu, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) diaktifkan untuk menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat.
Manakala siasatan ke atas insiden berkenaan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan.
Terdahulu, video dimuat naik oleh saksi di media sosial menunjukkan beberapa bahagian pesawat serta sebuah motosikal terbakar di jalan berhampiran kawasan perumahan Seksyen U16, Elmina.