8 mengaku tidak bersalah urus kondo jadi pusat judi dalam talian
Sinar Harian
Mei 15, 2024 15:00 MYT
Mei 15, 2024 15:00 MYT
GEORGE TOWN: Seorang wanita dan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret 1, di sini pada Rabu atas pertuduhan menguruskan sebuah rumah sebagai pusat perjudian dalam talian.
Tertuduh, Lee Yee Ling, 34; Chong Jia Seong, 22; Yeoh Eng Wah, 31; Aw Yong Chee Hsien, 29; Tan Kuan Yang, 39; Chew Boon Leng, 25; Ng Chin Keat, 25, dan warga Indonesia, Hari Pamungkas, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah menguruskan sebuah kondominium di Lintang Hj Ahmad, Taman Bukit Dumbar Timur sebagai rumah perjudian terbuka pada jam 7.45 malam, 9 Mei lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, Tan Jia Jing dan Eng Yuh Pei.
Nurul Atikah menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada semua tertuduh warga tempatan manakala tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh warga Indonesia tersebut.
Yuh Pei dalam rayuannya berkata, kesemua anak guamnya hanya bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan pendapatan bulanan RM3,000.
Katanya, hanya Yee Ling sudah berkahwin dan mempunyai dua anak manakala tertuduh lain masih bujang.
"Wang jaminan adalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah, bukannya satu hukuman. Tambahan pula, semua ahli keluarga tertuduh hadir untuk membayar jaminan bagi memastikan mereka hadir ke mahkamah nanti.
"Wang jaminan yang diletakkan iaitu RM15,000 dilihat terlalu tinggi dan akan menyusahkan ahli keluarga tertuduh untuk membayarnya.
"Bagi tertuduh kelapan (Hari Pamungkas) pula, dia mempunyai pas perjalanan yang sah dan disebabkan itu dia tidak dituduh di bawah Akta Imigresen," katanya.
Yuh Pei kemudiannya memohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang minimum kepada kesemua anak guamnya.
"Saya memohon wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh warga tempatan manakala RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi tertuduh kelapan," katanya lagi.
Siti Nurul Suhaila menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh pertama hingga tertuduh ketujuh manakala tertuduh kelapan, jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes tamat perbicaraan.
Tertuduh kelapan juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditangguhkan sehingga 21 Jun untuk serahan dokumen. - Sinar Harian