8 lokasi panas kemalangan diberi tumpuan sepanjang Tahun Baharu Cina
Bernama
Februari 3, 2024 17:38 MYT
Februari 3, 2024 17:38 MYT
MELAKA: Lapan lokasi panas atau hotspot yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di seluruh Melaka akan diberi tumpuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada 10 dan 11 Feb ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata Op Tahun Baharu Cina itu akan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sepanjang tempoh musim perayaan ini.
"Kami tidak hanya fokus lapan hotspot itu sahaja tetapi semua lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan punca kemalangan di seluruh Melaka dan suka saya tegaskan operasi yang dilakukan termasuk sekatan jalan raya bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna tetapi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di jalan raya.
"Ini penting memandangkan kami menjangkakan hampir dua juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh Melaka sepanjang empat hari perayaan tersebut," katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan TBC 2024 Japerun Ayer Keroh di Bukit Beruang di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JPJ negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Melaka Muhammad Firdaus Sharif dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh Kerk Chee Yee.
Terdahulu pada majlis tersebut lebih 50 peserta membuat penukaran topi keledar lama kepada topi keledar baharu yang selamat dan mempunyai kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Beliau berkata penukaran topi keledar serta Op Tahun Baharu Cina tersebut adalah antara usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya terutama melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di musim perayaan.
"Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama untuk memastikan setiap individu mengamalkan budaya selamat termasuklah menggunakan peralatan keselamatan seperti baju pantul cahaya dan topi keledar," katanya.
--BERNAMA