8 individu termasuk anak timbalan menteri akan didakwa esok
Astro Awani
Februari 2, 2017 13:43 MYT
Februari 2, 2017 13:43 MYT
Lapan indivdu termasuk anak seorang timbalan menteri yang merusuh di lobi bangunan Parlimen tahun lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kertas siasatan terhadap lapan individu berumur antara antara 33 tahun hingga 55 tahun itu sudah siap dan mereka akan dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.
Lapan individu terbabit terdiri dari lima lelaki dan tiga wanita.
"Kesemua yang akan didakwa itu adalah antara lebih 10 individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya pada sidang media di sini, har ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, 24 November tahun lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad diserang penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Kejadian itu berlaku susulan tindakan Khalid yang memanggil Tajuddin dengan kata kesat dalam Sidang Dewan Rakyat, beberapa hari sebelum kejadian itu.
Khalid bertindak demikian selepas Tajuddin mengeluarkan perkataan sinis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.