8 individu cedera nahas LRT pada Mei 2021 saman Rapid Rail, Prasarana

Bernama
Mac 27, 2023 16:20 MYT
Dalam insiden kemalangan pada 8.45 malam, 24 Mei 2021 itu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lapan individu yang terlibat dalam nahas Transit Aliran Ringan (LRT) aliran Kelana Jaya pada Mei 2021, memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad atas dakwaan cuai kerana gagal memastikan pengangkutan awam itu beroperasi dengan selamat sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.
Kesemua plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena Jitol, 28, Riezariel Haeqal, 23, Rozita Che Rus, 28, Ng Siow Nee, 36, Siti Nuraliah Hashim, 26, Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36, dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini, pada 9 Mac lepas dengan menamakan Rapid Rail dan Prasarana Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif yang sebelum kejadian sihat tubuh badan dan mental, berkata mereka telah menaiki tren laluan LRT Kelana Jaya sebelum tren itu melanggar sebuah lagi tren antara Stesen LRT Kampung Baru dan Stesen LRT KLCC.
Mereka mendakwa kemalangan dan pelanggaran tren yang dinaiki berlaku akibat kecuaian daripada defendan pertama dan kedua sepenuhnya dan kesemua plaintif mengalami pelbagai kerugian selain kecederaan pada tubuh badan.
"Defendan pertama dan kedua pada masa pelanggaran telah gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan plaintif pertama hingga kelapan selain gagal memastikan kereta api selamat digunakan oleh penumpang.
"Selepas kemalangan pada 24 Mei 2021 tersebut, Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat defendan kedua iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah membuat jenaka ketika sidang media dengan berkata kedua-dua tren itu 'bercium antara satu sama lain' selain dilihat ketawa pada sidang media sama yang diterbitkan pelbagai saluran televisyen," dakwa kesemua plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Menurut plaintif, kedua-dua defendan antara lain telah gagal memastikan kereta api selamat untuk bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh kereta api lain, gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyebabkan pelanggaran tersebut serta gagal memberhentikan, memperlahankan atau mengawal kereta api supaya kemalangan dapat dielakkan.
Oleh itu, mereka menuntut lebih RM860,000 sebagai ganti rugi khas, am dan teladan serta faedah sebanyak lima peratus atas kesemua jenis ganti rugi tersebut, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Berdasarkan semakan di laman web kehakiman, pengurusan kes ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mohamad Hafizul Awang pada 11 April ini.
Dalam insiden kemalangan pada 8.45 malam, 24 Mei 2021 itu, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung antara satu sama lain.
-- BERNAMA
#nahas LRT #klana jaya #saman mahkamah #rapid rail
;