8 gerai di Pasar Sentul hangus terbakar

Astro Awani
Disember 31, 2019 06:58 MYT
Kebakaran dengan keluasan 2,000 kaki persegi, melibatkan bangunan separuh kekal, terdiri daripada binaan batu-bata dan zink. - Foto Astro AWANI
Sedang rakyat Malaysia ramai yang bercuti sempena sambutan ambang tahun baru, pemilik lapan buah gerai di Pasar Sentul di ibu negara berdepan kerugian besar apabila tapak perniagaan mereka hangus sepenuhnya malam tadi.
Insiden berlaku kira-kira jam 9 malam melibatkan kedai di bangunan separuh kekal yang menjual pelbagai barangan termasuk makanan dan pakaian.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan kira kira jam 9.33 malam mengerahkan lima jentera dengan kekuatan 25 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sentul, Hang Tuah, Sri Hartamas, Gombak Selatan dan Titiwangsa ke lokasi.
"Sebaik anggota kami tiba, api sedang marak dengan pantas. Untuk makluman, kami dapat memadamkan kebakaran sepenuhnya setengah jam selepas itu.
"Kebakaran dengan keluasan 2,000 kaki persegi, melibatkan bangunan separuh kekal, terdiri daripada binaan batu-bata dan zink, melibatkan 14 unit kedai.
"Perniagaan dijalankan adalah menjual beras, kain, makanan dan kuih muih," kata Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba Mohd Zain Abdullah Ali.
Orang awam yang melalui jalan terbabit turut membantu memadamkan api.
Menurut Mohd Zain, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.24 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kejadian dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan.
#bangunan separuh kekal #bomba #hangus #kebakaran #kedai #kemalangan #kerugian #Kuala Lumpur #Mohd Zain Abdullah Ali #operasi #Pasar Sentul #siasatan #tapak perniagaan
;