8 didakwa pengganas dan memerangi Agong

Astro Awani
Mac 20, 2013 04:35 MYT
Lapan warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong.
Pertuduhan ke atas mereka dibacakan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini yang diisytiharkan sebagai mahkamah tengahari tadi.
Ia dibacakan dalam bahasa Suluk dan Bajau oleh penterjemah mahkamah.
Kes dikendalikan oleh pasukan pendakwa yang diketuai Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Nordin Ahmad.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu jenayah memerangi Agong serta satu pertuduhan lain di bawah Seksyen 130KA iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas.
Tuduhan pertama membawa hukuman gantung sampai mati manakala tuduhan kedua, penjara seumur hidup.
Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Pada masa ini, 108 tahanan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan 256 tahanan ditahan atas kesalahan lain termasuk Akta Imigresen dan Akta Pendaftaran Negara.
Antara mereka yang ditahan termasuk lelaki bersenjata, anggota beruniform dan penduduk kampung yang mungkin secara langsung atau tidak langsung bersubahat dengan kumpulan pengganas.
Sebahagian daripada mereka telah ditangkap dalam zon merah tempat pasukan keselamatan melancarkan Ops Daulat bertujuan untuk mengusir pengganas.
Setakat ini, 62 penceroboh dilaporkan terbunuh dan pihak berkuasa telah berjaya mengeluarkan 28 mayat manakala 10 anggota keselamatan negara terkorban.
#Khalid Abu Bakar #Lahad Datu #Sabah #SOSMA #Sulu #tuduh