8 cedera, 7 selamat nahas 9 kenderaan di lebuh raya
Aida Aziz
Januari 9, 2023 06:30 MYT
Januari 9, 2023 06:30 MYT
GOPENG: Lapan orang cedera manakala tujuh lagi selamat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah treler dan tujuh kenderaan lain di kilometer (km) 307.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, antara mangsa yang terbabit masing-masing dari treler muatan absorber lori (1), treler muatan plastik (1), kereta jenis Volkswagen (2), BMW (4), Toyota Yaris (3), Perodua Alza (1), Honda Civic (1), Perodua Aruz (1) dan Honda CRV (1).
Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.06 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan dibantu BBP Tapah bergegas ke lokasi.
"Terdapat 15 orang mangsa, lapan daripadanya cedera dan tujuh selamat. Mereka yang cedera merupakan mangsa dari kenderaan Toyota Yaris dan Honda Civic.
"Dipercayai kemalangan yang membabitkan sembilan kenderaan itu berlanggar dari arah belakang, bagaimanapun tiada mangsa tersepit.
"Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.
Katanya, beberapa orang mangsa yang cedera juga telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS serta ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Tarmizi Rasid itu tamat pada jam 12.46 tengah malam.