8,803 kompaun lebih RM2 juta dikeluarkan atas kesalahan merokok, kawalan demam denggi

Bernama
Mac 19, 2024 06:30 MYT
Dr Muhammad Radzi berkata, melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 5,937 kompaun ditawarkan dengan nilai tawaran RM1,469,750. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 8,803 kompaun bernilai lebih RM2 juta dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada bulan lepas atas kesalahan merokok dan tindakan pencegahan serta kawalan demam denggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, sejumlah 2,866 tawaran kompaun bernilai RM1,433,000 dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun.
"Sejumlah 410 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah. Dalam masa sama, sebanyak 86 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM199,800," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 5,937 kompaun ditawarkan dengan nilai tawaran RM1,469,750.
"Dalam tempoh itu juga, sebanyak 25,583 premis yang dilawati dengan 14,299 notis kesalahan dikeluarkan," katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata, melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 9,212 premis makanan diperiksa.
"Premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 adalah sebanyak 263 premis iaitu 2.85 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa.
"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan," katanya. - BERNAMA
#KKM #kompaun #merokok #denggi
;