8.7 juta rakyat terima bantuan kewangan bermula esok - PM

Ridauddin Daud
Januari 16, 2023 16:56 MYT
Menurut Anwar, keputusan mengawalkan pemberian sumbangan itu adalah bagi meringankan beban sara hidup rakyat dan ia akan mula dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bermula esok. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan bantuan kewangan tunai di bawah Kementerian Kewangan (MOF) untuk golongan B40 yang dijadualkan pada Mac diawalkan pemberiannya kepada Selasa, 17 Januari 2023.
Dijenamakan semula kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fasa pertama bantuan itu melibatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM1.67 bilion.
Menurutnya, keputusan mengawalkan pemberian sumbangan itu adalah bagi meringankan beban sara hidup rakyat dan ia akan mula dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bermula esok.
Tambah belliau, seramai 4 juta isi rumah akan menerima RM300 manakala 1.2 juta warga emas tiada pasangan dan 3.5 juta individu bujang masing-masing akan menerima RM100.
“Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.
“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari 2023.
“Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari 2023,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Menurut kenyataan itu lagi, maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
#Anwar Ibrahim #bantuan kewangan #golongan B40 #Kementerian Kewangan #Perdana Menteri
;