8,668 kes tipu beli barang online dari Januari-September 2023

Bernama
Oktober 20, 2023 05:30 MYT
Ramli mengingatkan masyarakat untuk berwaspada dengan cara hanya membuat pembelian melalui platform e-dagang yang mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,868 kes penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang dengan nilai kerugian RM163 juta dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata bilangan kes purata tahunan hampir mencecah 10,000 kes dengan jumlah kerugian meningkat setiap tahun iaitu peningkatan sebanyak 55 peratus tahun ini berbanding 2021.
"Sepanjang 2021, sejumlah 9,449 kes penipuan e-dagang dengan kerugian RM73 juta dicatatkan manakala pada 2022 sebanyak 9,258 kes dicatat dengan kerugian RM140 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjangkakan berlaku peningkatan ketara dalam bilangan kes-kes penipuan e-dagang di tahun akan datang ekoran peningkatan jumlah platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masyarakat masa kini.
Menurutnya, kajian mendapati penyedia platform e-dagang telah menyediakan prosedur urus niaga yang selamat dan teratur namun kecenderungan mangsa untuk mendapatkan harga yang lebih murah mendorong mereka membuat pembelian terus dengan penjual tanpa melalui platform e-dagang berkaitan.
"Pelaku jenayah penipuan e-dagang menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp serta aplikasi jualan dalam talian untuk mencari mangsa," katanya.
Ramli turut mengingatkan masyarakat untuk berwaspada dengan cara hanya membuat pembelian melalui platform e-dagang yang mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain.
Selain itu, beliau menyarankan pengguna supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon penjual di pautan https:// semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.
- BERNAMA
#Facebook #Instagram #nombor akaun #media sosial
;