8,587 calon duduki peperiksaan SPM ulangan mulai 4 Sept
Bernama
Ogos 21, 2023 19:27 MYT
Ogos 21, 2023 19:27 MYT
KUALA LUMPUR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2023 akan dilaksana pada 4 hingga 6 Sept ini melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 8,587 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU 2023 di 204 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut KPM, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu, seramai 1,639 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu manakala 1,332 petugas lagi untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
“KPM mengingatkan semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung dengan memuat turut jadual waktu peperiksaan di laman sesawang Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.
“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini dikeluarkan KPM,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPM turut mengingatkan calon untuk membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan dengan memuat turut dari laman sesawang Sistem Pengurusan Peperiksaan Dalam Talian di sppat.moe.gov.my.
Menurut KPM calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU tahun 2023.
-- BERNAMA