8,120 guru baharu boleh semak penempatan, lapor diri 1 Mac - Radzi Jidin

Bernama
Februari 15, 2022 17:27 MYT
Pengambilan khas guru secara 'one-off' yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.- Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara 'one-off' yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata guru-guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing, pada 1 Mac ini.
"Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat," katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Pengambilan khas guru secara 'one-off' yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.
Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru 'one-off' dalam masa terdekat.
Jelasnya langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
"Insya-Allah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara," katanya.
-- BERNAMA
#guru pengambilan khas #Kementerian Pendidikan #lapor tugas #Radzi Jidin
;