79 pegawai perubatan disambung kontrak secara 'one-off'
Umavathi Ramayah
November 24, 2020 13:25 MYT
November 24, 2020 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meluluskan penyambungan kontrak secara one-off selama enam bulan lagi bagi kepada 79 pegawai perubatan yang telah melengkapkan khidmat wajib serta mengikuti latihan siswazah di luar negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu, kelulusan itu adalah tambahan kepada kontrak enam bulan sedia ada yang diberikan sebelum ini bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan kesinambungan perkhidmatan serta membantu membendung penularan wabak COVID-19.
Penyambungan kontrak secara one-off itu katanya, mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi membolehkan pegawai berkenaan dapat meneruskan penyampaian perkhidmatan serta masih mempunyai pekerjaan
dalam situasi ekonomi yang mencabar pada masa ini.
"Penyambungan kontrak yang diberikan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keupayaan kewangan kerajaan.
"Pada masa ini, kerajaan sedia ada melaksanakan pendekatan right-sizing melalui penyusunan semula perjawatan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai status terbaru bagi tawaran pelantikan kontrak memandangkan tawaran kontrak enam bulan yang diamalkan mendapat kritikan daripada para pegawai perubatan (kontrak) selama ini.
Mengulas lanjut, Adham memberitahu, kerajaan sedia melaksanakan pendekatan right-sizing melalui penyusunan semula perjawatan dari semasa kesemasa berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan.
Katanya, ekoran itu kerajaan juga mewujudkan jawatan tambahan di KKM sebanyak 10,675 ecara berfasa bagi menampung keperluan di fasiliti baharu dan yang dinaik taraf yang masih belum dapat beroperasi sepenuhnya.
Terdahulu beliau memberitahu, seperti dalam ketetapan Akta Perubatan 1971 kerajaan mempunyai obligasi untuk menyediakan penempatan bagi latihan siswazah dan/atau khidmat wajib.
Lantikan secara kontrak katanya, dibuat bagi membolehkan graduan diberi penempatan untuk tujuan pendedahan pengalaman menerusi latihan siswazah dan khidmat wajib tanpa tertakluk kepada perjawatan tetap.
Namun begitu, katanya, ia tertakluk kepada faktor kekosongan jawatan, pertimbangan pelantikan tetap dibuat secara berasingan dari semasa ke semasa, mengambil kira pegawai memenuhi syarat pelantikan dan merit yang ditetapkan serta diperakukan oleh Jawatan kuasa Penilaian untuk dilantik tetap.
"Dalam pada itu, KKM sentiasa memberikan keutamaan kepada anak kelahiran Sarawak untuk mengisi jawatan kosong di fasiliti kesihatan di Sarawak.
"Sebagai contoh, daripada 94 pegawai pegawai kohort tahun 2017 yang dilantik tetap dan ditempatkan di Sarawak pada April 2020, kesemua 4 pegawai kelahiran Sarawak yang layak diperakukan dalam kohort tersebut telah dilantik secara tetap," jelasnya.