79 individu dari Iran ditempatkan di pusat pemantauan

Bernama
Mac 22, 2020 12:29 MYT
Kakitangan Jabatan Kebajikan Malaysia melakukan persediaan set barangan keperluan sebelum membuat penghantaran ke setiap bilik penginapan Individu Di bawah Pengawasan yang akan dikuarantin di Pusat Pemantauan di Nilai, 21 Mac, 2020. --fotoBERNAMA
Seramai 79 individu terdiri daripada warga Malaysia dan bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Tehran, Iran, awal pagi ini kini ditempatkan di Pusat Pemantauan di Bandar Enstek di sini untuk proses kuarantin selama 14 hari.
Jumlah berkenaan adalah meliputi 46 rakyat Malaysia serta lapan rakyat Singapura dan seorang (Indonesia) serta 24 petugas Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) berkenaan.
Bas pertama yang membawa mereka tiba di pusat berkenaan pada 9.43 pagi dengan diiringi kenderaan dan motosikal polis.
Selang 15 minit kemudian, sebuah bas lagi tiba di pusat berkenaan yang dikawal ketat anggota polis.
Dua bas terakhir yang membawa kesemua baki individu dari Unit Kecemasan Udara (ADU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba kira-kira 20 minit kemudian di pusat berkenaan.
Sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan itu, mereka melalui proses tapisan kesihatan di ADU, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lepas.
Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan-kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama ASEAN.
-- BERNAMA
#AirAsia #ASEAN #Bandar Enstek #China #evakuasi #HADR #Indonesia #Iran #KLIA #misi bantuan #pesawat #polis #Pusat Pemantauan #rakyat Malaysia #Singapura
;