79,231 warga asing serah diri, empat negara paling tinggi - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Jun 26, 2024 11:56 MYT
Saifuddin Nasution berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 68,900 sudah dihantar pulang dengan bantuan kedutaan negara masing-masing selepas dikenakan bayaran kompaun mengikut Akta Imigresen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, seramai 79,231 warga asing tanpa izin (PATI) telah menyerah diri secara sukarela melalui Program Repatriasi Migran, setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 68,900 sudah dihantar pulang dengan bantuan kedutaan negara masing-masing selepas dikenakan bayaran kompaun mengikut Akta Imigresen.
Katanya, empat PATI paling ramai menyerah diri direkodkan dari Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.
"Kita kutip kompaun hampir RM40,000.
"Ikhtiar kita minta mereka serah diri, bayar kompaun dan hantar pulang. Jika kita semak tiada dokumen, kita letak di Depot Imigresen dan kedutaan mereka siapkan dokumen perjalanan. Usaha ini berterusan dan tidak boleh bermusim," katanya pada seri Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Saifuddin Nasution menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mahu tahu sejauh mana tindakan dan perancangan yang diambil kepada PATI di negara ini.
Program Repatriasi Migran merupakan inisiatif Kerajaan kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen tertentu untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan menawarkan kadar kompaun yang lebih rendah.
Program tersebut berlangsung dari Mac hingga 31 Disember depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini kementerian melalui agensi berkaitan telah menjalankan sebanyak 7,975 operasi di kawasan-kawasan 'hot spot' warga asing.
Menerusi operasi berkenaan, katanya seramai 76,477 warga asing diperiksa, dengan seramai 20,207 didapati tidak memiliki dokumen yang sah.
"Mereka kemudian ditempatkan di Depot Imigresen dan kita telah berhubung dengan kedutaan masing-masing untuk menyediakan dokumen perjalanan dan kita hantar balik.
"Setakat ini, kita ada 19 Depot Imigresen dengan kapasiti sebanyak 13,000. Ia masih di bawah kapasiti walaupun kita telah tangkap lebih 20,000 dan hantar pulang dengan bantuan kedutaan," jelas Saifuddin Nasution.
Beliau turut memaklumkan seramai 456 majikan yang mengambil warga asing tanpa dokumen sah telah ditahan.
#Akta Imigresen #Saifuddin Nasution #Warga asing dihantar pulang #pati
;