78 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan persaraan minimum - Husni
Dania Zainuddin
Oktober 11, 2016 17:42 MYT
Oktober 11, 2016 17:42 MYT
Kira-kira 78 peratus penduduk Malaysia berumur 54 tahun masih belum memiliki jumlah simpanan persaraan minimum RM196,000 setakat ini.
Presiden Asian Forum of Parliamentarians on Population and Development (AFPPD), Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan perlu mengambil langkah untuk membantu, khususnya golongan ini, bagi membolehkan mereka menampung kehidupan selepas bersara.
"Memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia dijangka semakin meningkat, orang akan hidup lebih lama, ini bermaksud mereka perlu pembiayaan yang lebih tinggi untuk hidup dengan selesa.
"Kami akan sediakan kertas cadangan kepada kerajaan supaya dapat membantu golongan emas yang tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.
"Mereka perlu menjalani kehidupan seharian termasuk wang untuk makan dan minum, perumahan, kesihatan dan lain-lain," kata Ahmad Husni dalam satu sidang media selepas melancarkan Asian Forum Of Parliamentarians On Population And Development (AFPPD) The Policy Dialogue Of Asian Parliamentarians And Experts On Aging di sini, pada Selasa.
Selain itu, katanya, forum itu melihat isu ini daripada pelbagai sudut iaitu sosial, kewangan, dan perkhidmatan kesihatan.
Tambahnya, mereka turut melihat keperluan menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan emas yang sudah bersara memandangkan beberapa negara lain sudah melaksanakannya.
Ahmad Husni berkata selepas forum ini, satu laporan akan dihantar kepada pihak kerajaan secepat mungkin.
"Selepas tamat forum ini, setiausaha kami akan menyediakan laporan dan kami akan menghantar laporan itu kepada kerajaan secepat mungkin," katanya.
Tambah Ahmad Husni, pihaknya menjangka menjelang 2030, Malaysia akan menjadi bangsa tua, yang bermaksud 20 peratus daripada penduduk berusia lebih 60 tahun.
Sehingga kini, 12 peratus atau 760 juta penduduk global berusia 60 tahun ke atas, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 22 peratus atau 22 bilion orang menjelang 2050.