779 kes kemalangan maut babitkan pelajar sekolah - Pengarah JSPT
Bernama
Oktober 23, 2024 17:50 MYT
Oktober 23, 2024 17:50 MYT
IPOH: Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Ringkasan AI
- Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan 4,043 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah.
- Bukit Aman mengadakan operasi khas dengan fokus kepada penunggang motosikal, yang merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya. Ini sebagai respons kepada kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Program ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
- Sebanyak 498 pelajar sekolah yang berusia 17 tahun dan ke bawah terbabit dalam kegiatan mat rempit sepanjang tempoh tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 4,043 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata jumlah itu menunjukkan trend membimbangkan dan ia telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pihak Bukit Aman telah menyahut kebimbangan (Perdana Menteri) dan kita mengadakan operasi khas kemalangan jalan raya dengan memberi fokus kepada penunggang motosikal kerana ia merupakan antara penyumbang kemalangan jalan raya paling tinggi berbanding kenderaan lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata sebanyak 498 pelajar sekolah yang berusia 17 tahun dan ke bawah terbabit dalam kegiatan "mat rempit" direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Terdahulu, Mohd Yusri dalam ucapannya berkata program advokasi kesedaran dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya.
"Ia bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pendidikan dan latihan serta mendorong tingkah laku yang selamat ketika menggunakan jalan raya, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah," katanya.
-- BERNAMA