77 peratus pekerja berpendapat teknologi sediakan lebih banyak peluang daripada risiko - PwC Malaysia
Astro Awani
Mei 2, 2021 18:01 MYT
Mei 2, 2021 18:01 MYT
ADAKAH pekerja di Malaysia menyesuaikan diri dengan lebih baik dengan teknologi susulan wabak COVID-19 yang membadai dunia sejak setahun yang lalu?
Memetik laporan kaji selidik PwC Malaysia, 77 peratus rakyat Malaysia berpendapat, teknologi menyediakan lebih banyak peluang berbanding risiko namun, mereka khuatir akan kesan teknologi terhadap keselamatan pekerjaan.
Menurut laporan PwC berjudul ‘Hopes and Fears Survey 2021’, 71 peratus rakyat Malaysia pula bimbang pekerjaan mungkin berisiko disebabkan automasi.
Dalam pada itu, hasil kaji selidik tersebut mendapati 19 peratus responden Malaysia berkata mereka mempunyai kemahiran digital yang mencukupi untuk melaksanakan pekerjaan mereka manakala 57 peratus responden berkata mereka telah meningkatkan kemahiran digital mereka sejak pandemik bermula.
“Dalam kalangan 57 peratus responden tersebut, 46 peratus mempunyai sedikit kemahiran digital dan mampu terus meningkatkannya.
“Manakala 11 peratus daripada mereka yang tidak mempunyai kemahiran digital mencukupi mampu mendapatkan kemahiran tersebut dalam pekerjaan,” kata kaji selidik berkenaan.
Kaji selidik itu melibatkan 2,003 rakyat Malaysia berhubung teknologi, pekerjaan dan kemahiran yang dijalankan pada Januari dan Februari 2021 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pasaran PwC Malaysia, Nurul A'in Abdul Latif, berkata biarpun teknologi menjadi ‘talian hayat’ supaya pekerja dapat kekal bekerja dan pemacu kelangsungan perniagaan, halangan tertentu masih wujud.
“78 peratus rakyat Malaysia berkata bahawa kekurangan akses kepada teknologi telah menghindarkan kemampuan mereka untuk mengembangkan kemahiran.
“Keadaan ini mampu mencerminkan kekurangan teknologi yang tepat atau mungkin menunjukkan bahawa syarikat Malaysia perlu segera mengatasi jurang kemahiran menerusi strategi peningkatan kemahiran yang tepat,” kata Nurul A’in.
Malaysia berisiko berdepan dengan ‘kelesuan melampau’
Tambahnya, majikan, kami juga tidak boleh mengabaikan kenyataan bahawa terdapat risiko sebenar berlakunya kelesuan melampau (burnout) dalam tenaga kerja negara.
“Lebih separuh (55 peratus) responden lebih suka persekitaran kerja maya.
"Bagaimanapun, hanya 28 peratus yang dapat memutuskan hubungan dengan kerja di luar waktu kerja, termasuk hujung minggu dan menggunakan sepenuhnya hak cuti tahunan mereka.
“Apa lagi yang dapat kita lakukan untuk mengatasi masalah keseimbangan kerja-kehidupan bagi menyemarakkan kembali semangat pekerja kita?” katanya.
Kaji selidik tersebut juga mendedahkan 92 peratus responden berkata mereka diberikan peluang oleh majikan semasa untuk meningkatkan kemahiran digital di luar tugasan biasa mereka.
Sebanyak 87 peratus responden Malaysia bersetuju bahawa ia menjadi tanggungjawab mereka untuk meningkatkan kemahiran berbanding bergantung kepada majikan untuk melakukannya untuk mereka.
Sementara itu, 88 peratus responden berkata, mereka bersedia untuk belajar kemahiran baharu atau dilatih semula sepenuhnya supaya mereka dapat terus bekerja pada masa depan.