76 serbuan aktiviti perjudian tanpa lesen di Tuaran sejak Januari
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 26, 2021 22:56 MYT
Oktober 26, 2021 22:56 MYT
TUARAN: Sebanyak 76 serbuan membabitkan premis melaksanakan aktiviti perjudian tanpa lesen dilaksanakan di daerah ini sejak Januari sehingga kini.
Menerusi semua serbuan terbabit, seramai 90 individu berjaya ditahan atas kesalahan berjudi.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata pelbagai barangan turut dirampas termasuk wang tunai dianggarkan lebih kurang RM120,000 sepanjang tempoh sama.
"Orang awam khususnya di daerah Tuaran dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan promosi sindiket perjudian melalui dalam talian.
"Hal ini boleh mengakibatkan seseorang individu itu terjebak dalam aktiviti perjudian.
"Selain itu, hindari dari dipengaruhi ejen perjudian yang menjanjikan (kononnya) mampu menggandakan pendapatan.
"Melaburlah melalui cara yang sah dan bukannya menerusi jalan singkat dengan melibatkan diri dalam aktiviti perjudian," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan media sama, Mohd Hamizi memaklumkan pihaknya bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan pemotongan bekalan elektrik ke atas 12 premis yang melakukan aktiviti perjudian tidak berlesen di sekitar daerah Tuaran.
Dalam operasi bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang itu, sebanyak 12 premis di beberapa lokasi seperti pekan Tuaran, Taman Seri Rugading, Taman Telipok Ria, Taman Telipok Square dan Tamparuli.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran terlibat dalam operasi ini.
"Pemotongan bekalan elektrik adalah seperti peruntukan di bawah Seksyen 21A ARJT 1953 kerana premis terbabit menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.
"Proses pemotongan bekalan elektrik dijalankan keadaan baik dan terkawal," katanya lagi.