76,771 anggota LLP ATM terima peningkatan tangga gaji
Norsiah Mohd Ramli
Februari 15, 2016 13:54 MYT
Februari 15, 2016 13:54 MYT
Seramai 76,771 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati peningkatan tangga gaji hingga ke Band 5 berkuat kuasa pada 1 Julai depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain menghargai anggota dan veteran ATM, penambahbaikan ini bertujuan memberi suntikan semangat kepada mereka dan ahli keluarga yang berkhidmat dan berkorban demi negara.
Hishammuddin berkata, kebajikan anggota dan veteran ATM perlu dijaga kerana sumbangan mereka sangat besar terutama dalam menjaga kedaulatan negara.
"Kita ada musuh yang mempunyai kekuatannya sendiri dan teknologi sahaja tidak mencukupi.
"Untuk berdepan dengan mereka, kita perlu memastikan bahawa semangat anggota kita dan keluarga mereka tinggi dan kebajikan ini adalah suntikan baru bukan sahaja kepada anggota, tetapi kepada anak-anak mereka," katanya pada sidang media perutusan khas tahun baru 2016 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
Tambahnya, penambahbaikan ini juga bertujuan membantu anggota LLP ATM berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Antara penambahbaikan termasuk menstruktur semula sistem tangga gaji sedia ada bagi memastikan kesemua anggota tanpa mengira tangga gaji akan mempunyai taraf pengetahuan dan kemahiran yang tinggi serta berpeluang untuk mencapai peningkatan sehingga ke Band 5.
Di samping itu, faedah persaraan bagi 19,436 orang veteran turut disediakan.
Sementara itu, 15,134 anggota ATM akan menerima bayaran insentif wilayah yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM11.8 juta.
Sebanyak 4,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) turut akan dibina di seluruh negara.
Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan bas sekolah kepada anak-anak anggota ATM.
Kerajaan turut mengambil berat kebajikan pendidikan anak-anak anggota ATM dengan memberi pengiktirafan kepada mereka yang mencapai tahap kecemerlangan dalam bidang akademik di peringkat PT3, SPM dan IPTA dengan nilai keseluruhan RM600,000 bermula Ogos 2016.
Penganugerahan ini dianjurkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Mereka yang layak akan menerima sijil penghargaan dan cek mengikut kadar yang ditetapkan, SPM (RM1,500); PT3 (RM400-RM800 berbeza mengikut keputusan) dan IPTA (RM1,000).
Selain itu, bermula 16 Februari ini, 100 rumah akan dibina dan 100 rumah sedia ada akan dibaiki di seluruh negara bagi keselesaan veteran ATM melibatkan peruntukan keseluruhan RM5.82 juta.