754 ditahan ingkar PKP, gagal rekod daftar masuk premis kesalahan tertinggi

Hilmi Malik
Jun 23, 2021 11:12 MYT
Gagal merekodkan pendaftaran diri di premis menjadi kesalahan tertinggi direkodkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Polis menahan 754 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 701 individu dikompaun manakala 53 lagi direman.
Katanya, gagal merekodkan pendaftaran diri di premis menjadi kesalahan tertinggi direkodkan
“Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal serta rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran,” katanya menerusi kenyataan hariannya pada Rabu.
Mengenai Op Benteng, katanya pihak berkuasa telah menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sembilan kenderaan darat dan dua bot.
Selain itu, katanya seramai 452 individu telah tiba di tanah air menerusi pintu masuk antarabangsa dan diarah menjalani proses kuarantin wajib.
Pada masa sama, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai agar terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan kerajaan.
#SOP #pati #ismail sabri yaakob #perintah kawalan pergerakan #PKP #pelitup muka #pendatang asing #COVID-19