750 karton rokok seludup bernilai RM112,200 dirampas
Sinar Harian
November 28, 2021 10:39 MYT
November 28, 2021 10:39 MYT
KLANG: Sebanyak 750 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM112,200 termasuk nilai cukai dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerusi serbuan di sebuah gudang di Kampung Batu 9, Puchong pada Sabtu.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, serbuan ke atas gudang tersebut dilaksanakan setelah pihaknya mengekori sebuah lori.
Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati sindiket menggunakan sebuah lori untuk menjalankan aktiviti membawa rokok seludup.
"Lori berkenaan diekori hingga memasuki simpang jalan mati di sekitar Kampung Pulau Meranti, bagaimanapun pemandunya bertindak melarikan diri dan meninggalkan lori itu di tepi jalan dalam keadaan enjin yang masih hidup.
"Hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati muatan lori itu kosong dan gagal menemui pemandu di dalam kawasan semak," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, penemuan lori berkenaan membawa kepada penemuan sebuah gudang yang dipercayai menjadi lokasi simpanan rokok tidak bercukai.
"Serbuan kemudian dijalankan di gudang berkenaan dan menemukan 15 kotak berisi 750 karton rokok yang dianggarkan berjumlah RM112,200 termasuk nilai cukai.
"Siasatan awal mendapati gudang itu dipercayai disewa sindiket untuk dijadikan pusat transit sementara sebelum rokok berkenaan diedarkan kepada pekedai," katanya.
Mengulas lanjut, Shamsol berkata, pihaknya kemudiannya merampas rokok serta lori berkenaan dan dibawa ke PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
*Berita asal di Sinar Harian