75 peratus kedai, restoran di bawah GST tidak kena SST

Bernama
September 12, 2018 19:12 MYT
Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran di bawah GST tidak dikenakan SST selepas nilai ambang SST dinaikkan kepada RM1.5 juta. - Gambar fail
Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas nilai ambang SST dinaikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM500,000 di bawah GST, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata nilai ambang SST itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GST yang sebelum ini dikenakan kepada pengguna daripada restoran yang mempunyai pendapatan melebihi RM500,000 setahun.
Berikutan itu, katanya cuma terdapat 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST, iaitu empat kali ganda lebih besar ketika di bawah GST.
"Bukankah kesan SST jauh lebih kurang daripada GST apabila hanya 25 peratus daripada restoran dan kedai kopi terkesan di bawah SST berbanding dengan GST?" katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Lim dalam kenyataan itu turut membidas bekas perdana menteri dan juga bekas menteri kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang didakwanya 'buat-buat tidak tahu' bahawa cukai perkhidmatan enam peratus memang dikenakan di bawah SST sama seperti GST.
Najib dalam hantarannya di Facebook meluahkan rasa tidak puas hati selepas kuih pau yang dibelinya dikenakan SST selain turut memuat naik gambar resit diterimanya yang turut disertakan jumlah SST sebanyak RM3.80.
BACA: 'Perang' berterusan, Najib persoal harga teh o ais limau pula
BACA: 'Najib jangan buat-buat terkejut, dulu pun dah kena GST' - Netizen
Sementara itu, Lim berkata SST juga menyaksikan pengguna dapat menikmati harga kereta yang lebih rendah apabila sekurang-kurangnya lima jenama kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW lebih murah berbanding dengan GST antara RM2,000 hingga RM3,000.
Beliau memberikan contoh harga kereta jenis BMW 118i M Sport ialah RM185,800 berbanding dikenakan GST iaitu RM188,800, Honda Jazz 1.5V RM83,633 berbanding RM85,750, Toyota Vios 1.5S A/T RM93,200 berbanding RM93,980 dan Volkswagen Polo hanya RM74,900 berbanding RM76,888.
Lim juga berkata Kementerian Kewangan akan berjumpa Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Malaysia untuk membincangkan kemungkinan mengikut jejak langkah REHDA Pulau Pinang mengurangkan harga rumah sebanyak 10 peratus untuk rumah berharga lebih RM300,000 dan 6 peratus untuk rumah mampu milik berharga bawah RM300,000.
Beliau berkata kerajaan juga memberikan pengecualian SST terhadap bahan dan perkhidmatan binaan, berlainan dengan GST.
"Ini telah disambut baik oleh REHDA Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000, manakala diskaun 6 peratus dikenakan bagi rumah mampu milik yang berharga RM300,000.
"Kerajaan Persekutuan amat mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian SST ini. Saya akan berjumpa dengan REHDA Malaysia untuk membincangkan sama ada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara," katanya. -- Bernama
#GST #Lim Guan Eng #SST
;