745 kertas siasatan dibuka terhadap majikan langgar Akta 446

Bernama
Jun 11, 2021 07:44 MYT
Awang (dua, kiri) menjelaskan sesuatu kepada pekerja kilang ketika mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan SOP PKP di sebuah kilang, di Sungai Petani, 11 Jun, 2021. --fotoBERNAMA
Sebanyak 745 kertas siasatan telah dibuka terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak Feb hingga Selasa lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu sebahagiannya telah didenda dan dikenakan kompaun berjumlah lebih RM3.4 juta hasil pemeriksaan terhadap 106,824 penginapan pekerja serta 19,149 majikan di seluruh negara oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKM).
"Daripada 745 kertas siasatan itu, sebanyak 125 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen dan 55 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM361,000.
"Selain itu, sebanyak 291 kes telah dikompaun yang membabitkan kompaun bernilai lebih RM3 juta terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446," katanya selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kilang di sini semalam.
Sementara itu, Awang berkata setakat ini sebanyak 2,657 aduan berkaitan isu perburuhan telah diterima menerusi aplikasi "Working For Workers" sejak ia dilancarkan 3 Mei lepas.
BACA: Penguatkuasaan Akta 446 masih dilaksanakan - M Saravanan
BACA: 73.9 peratus majikan gagal patuhi Akta 446 - Awang Hashim
Katanya, antara aduan diterima termasuk berkaitan ketidakpuasan hati pekerja terhadap pemotongan gaji, dipecat tanpa notis serta dipaksa bekerja ketika PKP.
"Pekerja boleh mengemukakan aduan dan kita memberi jaminan bahawa identiti mereka dirahsiakan dan aduan yang diterima akan diambil tindakan segera dan dipantau oleh pihak pengurusan tertinggi kementerian," katanya.
BACA: MBAM mohon tempoh penangguhan setahun patuhi pindaan Akta 446
BACA: Pematuhan Akta 446 penting untuk lindungi hak asasi pekerja - Fadillah
BACA: Akta 446: Gagal sediakan penginapan pekerja yang diperakukan JTK, syarikat didenda RM20,000
Berkaitan operasi di kilang berkenaan pagi semalam, Awang berkata majikan tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 446 iaitu tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKM dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Katanya, majikan tersebut turut dikesan gagal memastikan pekerjanya mengimbas QR kod MySejahtera, sekali gus turut melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.
"Kementerian mengingatkan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat serta pemain industri secara umumnya agar sentiasa mematuhi akta-akta yang dikuatkuasakan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
#kertas siasatan #majikan #Awang Hashim #Akta 446 #Pekerja #pendakwaan #Mahkamah Sesyen #kompaun #Working For Workers #aplikasi #Penginapan #pemain industri #undang-undang #PKP #SOP #penyakit berjangkit #aduan #gaji #notis #denda
;