74 peratus mangsa lemas adalah 'orang luar' - Bomba Terengganu

Nur Fazlizai Ali
Disember 29, 2020 09:25 MYT
Unit Pasukan Penyelamat Di Air JBPM Terengganu menjalankan operasi mencari dan menyelamat Naim Hariri Kamaruddin yang dikuatiri lemas di Pantai Kelulut, Marang, 26 Dis, 2020. - Gambar fail BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 74 peratus mangsa lemas yang direkodkan di negeri Terengganu tahun ini melibatkan penduduk yang tinggal di luar negeri itu.
Tidak peka dengan keadaan cuaca dan papan tanda yang dipasang di sepanjang pantai di negeri itu, juga dipercayai menjadi penyumbang kepada kes berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Khariri Mat Resad berkata, bermula Januari hingga 28 Disember lalu, sebanyak 23 kes lemas direkodkan.
Daripada jumlah itu, 19 yang terkorban melibatkan mangsa yang tinggal di luar Terengganu, manakala empat kes melibatkan penduduk tempatan.
“Mangsa yang lemas terdiri daripada pengunjung daripada luar. Kira-kira 74 peratus daripada mangsa adalah orang luar yang datang ke sini, melaksanakan bercuti, kenduri kahwin dan sebagainya.
“Mereka mengambil kesempatan musim cuti, kemudian datang ke pantai, mandi-manda, tanpa menyedari risiko yang sangat besar menanti di pantai Terengganu,” katanya.
BACA: Mayat kedua kes lemas di pantai di Marang ditemui
Tambahnya, majoriti mangsa yang terkorban berusia antara 10 dan 50 tahun dan kebanyakan kes lazimnya berlaku di antara jam 5 dan 7 petang.
Mohd Khariri berkata, kebanyakan mangsa tidak mengetahui keadaan pantai di negeri itu yang sememangnya berisiko untuk mandi, khususnya pada musim tengkujuh.
Jelasnya, walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan, termasuk rondaan serta mengedarkan risalah tentang risiko melakukan aktiviti di air, namun masih ada individu yang mengingkarinya.
BACA: Mayat Naim Hariri ditemukan
Pada Jumaat lalu, dua kes lemas direkodkan di daerah Marang, termasuk seorang bakal pengantin.
Kedua-dua mangsa dikatakan ditarik ombak ketika mandi di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut.
#bomba #lemas #terengganu #musim tengkujuh #bahaya laut Terengganu #Marang #mandi #Pantai #orang luar #papan tanda #cuaca #pengunjung #mangsa #cuti #Mohd Khariri Mat Resad
;