733 rumah dhuafa dibina di Kelantan sejak 2017 - Ahmad Yakob
Bernama
September 29, 2022 15:44 MYT
September 29, 2022 15:44 MYT
TUMPAT: Sebanyak 733 rumah dhuafa siap dibina untuk golongan asnaf di Kelantan sejak 2017 hingga Ogos tahun ini dengan kos RM31.3 juta, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata program rumah dhuafa itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa prihatin dan komited dalam menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan asnaf di negeri itu.
"Pada 2017 kita telah membina 71 rumah, manakala pada 2020 pula sebanyak 317 rumah serta masing-masing 80 rumah pada 2018, 2019 dan 2021.
"Setakat Ogos tahun ini pula, 105 rumah telah dibina dengan kos lebih RM5.5 juta di 10 jajahan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis penyerahan Rumah Dhuafa kepada ibu tunggal, Rahimah Salleh, 64, dari Kampung Kutan, Wakaf Bharu di sini hari ini.
Ahmad berkata menerusi program itu juga kerajaan negeri telah membaik pulih 3,332 rumah golongan asnaf dan daif dengan kos RM24.6 juta sejak 2017.
"Pembinaan bagi setiap rumah tiga bilik itu membabitkan kos RM55,000 dan peruntukan menerusi program ini juga boleh digunakan bagi membaiki rumah yang rosak iaitu sebanyak RM10,000.
"Antara syarat untuk layak menerima bantuan rumah menerusi program itu adalah mereka perlu memiliki tanah sendiri atau tanah diberikan perakuan daripada ibu bapa atau saudara," katanya.
-- BERNAMA