730 kes dipatuk ular dilapor sejak Januari - Dr Subra
Anthea Yap
April 27, 2016 18:48 MYT
April 27, 2016 18:48 MYT
Sejumlah 730 kes mangsa dipatuk ular melibatkan satu kematian dilaporkan di hospital seluruh negara dari Januari hingga 26 April tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, kes tertinggi dicatatkan di Kedah dengan 195 kes, diikuti Perak 107 kes dan Selangor 78 kes.
Menurutnya, kematian yang dilaporkan berlaku di Kelantan yang melibatkan seorang murid darjah satu.
Kebanyakan kes dipatuk ular, katanya, mangsa tidak dapat mengenal pasti jenis ular terbabit.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta segera mendapatkan rawatan di hospital atau Klinik Kesihatan dan tidak mengambil risiko untuk membuat rawatan sendiri.
"Jangan buat apa-apa terhadap mangsa yang dipatuk ular. Jangan potong luka mangsa, jangan cuba keluarkan air dalam luka mangsa atau tidak perlu diikat apa-apa terhadap luka mangsa.
"Semua itu tidak perlu dibuat dan kalau boleh, jangan gerakkan tempat yang digigit itu. Hantar pesakit ke hospital dan keputusan akan dibuat di hospital untuk meneruskan jenis rawatan apa yang diperlukan," katanya apabila ditemui selepas majlis menandantangani memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Perubatan Malaysia dan Kolej Anaesthestists Ireland di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.
Menurut Dr Subramaniam, 139 hospital di seluruh negara dibekalkan dengan antivenom yang mencukupi pada masa ini.
Terdapat dua jenis antivenom yang digunakan untuk merawat mangsa iaitu yang spesifik terhadap satu jenis ular dan kombinasi beberapa jenis ular.
Dalam pada itu, katanya, antivenom tidak akan ditempatkan disekolah-sekolah kerana kaedah rawatannya memerlukan kepakaran doktor.
"Keputusan itu perlu dibuat oleh pihak doktor dan antivenom itu mempunyai risikonya tersendiri. Oleh itu keputusan hanya boleh dibuat oleh doktor kerana ia adalah bahan kawalan," tambahnya.