73 mangsa diselamatkan, 113 ahli sindiket pemerdagangan manusia ditahan
Umavathi Ramayah
Jun 20, 2024 18:20 MYT
Jun 20, 2024 18:20 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 73 individu termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dieksploitasi menjadi buruh paksa.
Ringkasan AI
- Seramai 73 individu termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dieksploitasi menjadi buruh paksa melalui operasi Op Mega Pintas pada 12 Jun lalu.
- Operasi serentak di seluruh negara ini turut menyelamatkan 22 kanak-kanak dan menahan 113 individu dari pelbagai negara yang terlibat dalam jenayah tersebut, dengan siasatan dijalankan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen.
- Operasi melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan yang memberi tumpuan kepada sektor pengemis, buruh paksa scammer, agensi pembantu rumah, perladangan, perhotelan, restoran, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut, dan kedai emas, dengan beberapa indikator jenayah pemerdagangan manusia dikenalpasti seperti penganiayaan, penghambaan hutang, ancaman, dan penahanan dokumen pengenalan diri.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua mangsa diselamatkan dalam 33 serbuan Op Mega Pintas pada 12 Jun lalu, yang dilancarkan serentak di seluruh negara.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada 25 lelaki dan 26 perempuan, selain 22 kanak-kanak rakyat tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand.
"Pada masa sama kita turut menahan 113 individu yang merupakan warga tempatan, Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada
Fadil berkata, siasatan ke atas mereka dijalankan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau memberitahu, operasi kali ini dilakukan secara meluas tanpa hanya tertumpu kepada sektor perkilangan.
"Kali ini kita turut memfokuskan kepada sindiket pengemis, buruh paksa scammer, agensi-agensi pembantu rumah, perladangan dan perkhidmatan seperti perhotelan, restoran, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan kedai emas.
"Tanpa disedari mereka (mangsa) pun tak faham apa yang dimaksudkan dengan buruh paksa.
"Jadi mereka (mangsa) diperdaya ke Malaysia sehingga akhirnya dijadikan mangsa pemerdagangan manusia tanpa disedari, banyak modus operandi yang digunakan.
"Ada yang dijanjikan dengan pekerjaan lain, tapi bila sampai di sini dieksplotasi untuk kerja lain.
"Selain itu juga dikesan ada penglibatan agensi-agensi pekerjaan yang bermula di negara mangsa dengan sejumlah bayaran yang ditetapkan kononnya menawarkan pekerjaan secara sah," ujarnya.
Dalam pada itu Fadil menjelaskan, terdapat beberapa indikator jenayah pemerdagangan manusia yang tidak disedari mangsa.
"Apa itu indikator buruh paksa? Pertama, penganiayaan golongan rentan, wujud penipuan, penghambaan hutang, keganasan fizikal dan seksual, ancaman dan ugutan, isolasi, penahanan dokumen pengenalan diri oleh majikan, penahanan gaji, dipaksa kerja lebih masa, sekatan pergerakan serta tidak menyediakan tempatan kerja dan tempat tinggal yang kondusif," katanya.
Operasi itu dijalankan secara serentak Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama 14 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) polis di seluruh negara.
Turut serta dalam operasi adalah agensi penguatkuasaan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).