73 anggota akan ditugaskan di Hospital Medan ATM di Tawau

Astro Awani
Oktober 17, 2020 13:00 MYT
Antara persediaan pelepasan dari Subang ke Tawau yang membawa aset dan pasukan hospital medan. - Foto: Facebook Dr Noor Hisham Abdullah.
SUBANG: Sejumlah 12 pegawai dan 61 anggota sokongan perubatan akan dihantar memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan COVID-19 akan ditugaskan di Hospital Medan ATM untuk jangka masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan menjelaskan, pasukan itu akan berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau.
"Hari ini kita akan melihat penghantaran kumpulan induk Hospital Medan yang akan bekerjasama dengan Hospital Tawau yang akan melibatkan anggota berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
Pada peringkat awal, Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini mempunyai kapasiti 100 katil termasuk 4 katil ICU yang akan memberi rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19 bagi membolehkan Hospital Tawau memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes COVID-19.
Keupayaan hospital juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan wad HDU (High Dependancy Unit).
Perkhidmatan Kesihatan ATM juga terlibat secara langsung dalam pewujudan pusat rawatan sementara COVID-19 di Penjara Pokok Sena di Kedah.
Ini adalah bagi merawat banduan-banduan yang positif COVID-19.
Pada Sabtu, seramai 33 orang anggota dihantar menggunakan pesawat A400M dari No. 22 Skuadron yang beroperasi di Pangkalan Udara Subang sebelum baki pegawai lain akan dihantar dalam masa terdekat.
Juruterbang dan anggota kru pesawat yang menerbangkan 14 tan bantuan keperluan perubatan ke Sabah turut memakai pakaian pelindung diri (PPE) sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu, pada 12 Oktober lepas, ATM melalui TUDM turut melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut jenis C130H dari No. 20 Skuadron.
Ia turut membawa peralatan perubatan, Personal Protective Equipment (PPE) dan sampel ujian COVID-19 dari Sabah serta Labuan bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri tersebut dengan kerjasama KKM.
Penerbangan tersebut juga turut membawa pulang sampel ujian COVID-19 daripada Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau untuk dihantar ke makmal-makmal di Semenanjung bagi tujuan ujian sampel. Bantuan penerbangan ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa tertakluk kepada sebarang keperluan semasa.
#TUDM #ICU #KKM #COVID-19 #tentera #pesawat
;