72 'frontliners' perubatan terima dos ketiga, penggalak di PPV Klinik Kesihatan Petra Jaya
Lynch Cowan
Oktober 13, 2021 19:45 MYT
Oktober 13, 2021 19:45 MYT
KUCHING: Pemberian vaksin dos ketiga dan dos penggalak di Klinik Kesihatan Petra Jaya dimulakan kepada petugas barisan hadapan perubatan.
Tinjauan Astro AWANI di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) klinik kesihatan itu, seramai 72 petugas barisan hadapan di klinik berkenaan telah menerima suntikan vaksin jenis COVID-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech.
Menurut Pegawai Penguasa di PPV berkenaan, Dr Maziah Ishak pihaknya bakal memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan perubatan dalam tempoh dua minggu bermula Rabu.
“Pada minggu pertama dan kedua ini kami memberikan fokus kepada petugas barisan hadapan dan kemudiannya barulah kepada warga emas yang berisiko tinggi,” katanya kepada Astro Awani.
Ujarnya lagi individu yang mempunyai daya tahan imuniti yang lemah, mereka akan turut mula diberi pada akhir bulan Oktober dan awal bulan November ini.
Bagaimanapun, bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan melibatkan risiko tinggi mereka akan dirujuk kepada PPV di hospital kerajaan mahupun swasta untuk penilian sebelum diberikan vaksin dos penggalak.
Sementara itu, penerima dos penggalak Dr Sharifah Khadijah Wan Mohamad, dia menggalakkan warga emas untuk mengambil suntikan bagi meningkatkan daya imuniti mereka sekaligus menjamin keselamatan orang sekeliling.
Bagi, Iffah Marcelina Peter, dia juga berpendapat sama agar individu yang mempunyai penyakit komorbid untuk bantu sama meningkatkan imuniti mereka dalam pada masa yang sama mewujudkan persekitaran yang selamat.